Halaman

Selasa, 21 September 2010

Untuk peminat Rafael Nadal saje!!!!!



Bermain tenis umur tiga tahun


DILAHIRKAN pada 3 Jun 1986 di Manacor, Mallorca, Sepanyol, Rafael Nadal atau nama sebenarnya Rafael Nadal Parera sentiasa dikagumi kerana kehebatannya di gelanggang tenis dunia.

Mesra dipanggil Rafa di kalangan ahli keluarga terdekat dan teman-teman, pencapaian bintang tenis berusia 24 tahun terlalu banyak untuk disenaraikan.

Terbaru, pada 13 September lalu, Nadal melengkapkan karier cemerlangnya musim ini apabila merangkul trofi kejuaraan pada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan pemain Serbia, Novak Djokovic pada aksi di Flushing Meadows itu.

Selain Terbuka AS, Nadal turut mengungguli dua lagi Kejohanan Grand Slam tahun ini iaitu pada Terbuka Perancis dan Kejohanan Wimbledon.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan Nadal pada ranking No. 1 dunia sehingga akhir tahun ini. Ia merupakan kali kedua anak kepada pasangan Sebastian Nadal dan Ana Maria Parera itu menduduki kedudukan teratas dalam senarai ranking Jelajah ATP sejak tiga tahun lalu.

Gelaran Terbuka AS juga membolehkan Nadal menambah koleksi gelaran major kesembilan sepanjang kariernya.

“Ini merupakan musim yang menakjubkan bagi saya. Malah, jika bukan yang terbaik, ia tetap saya anggap antara musim terbaik yang pernah dilalui.

“Memenangi Terbuka AS bersama Terbuka Perancis dan Wimbledon bukan satu perkara yang mudah. Saya bekerja keras untuk kembali berada di puncak dan apabila mengetahui saya dinobatkan sebagai pemain No. 1 dunia hingga hujung tahun ini, ia begitu melegakan,” kata Nadal.

Namun, di sebalik kehebatan yang ditunjukkan oleh pemain bertubuh sasa itu, mungkin ramai tidak mengetahui permulaan Nadal dalam arena tenis sehingga mampu menjadi pemain terbaik dunia.

Karier tenis Nadal bermula sejak berumur tiga tahun. Insan penting yang menjadi tonggak kejayaan abang kepada Maria Isabel itu ialah bapa saudaranya, Tony Nadal.

Sebaik menyedari bakat semula jadi Nadal, Tony yang merupakan bekas pemain tenis profesional terus memperkenalkan sukan tersebut pada anak saudaranya itu. Sejak tahun 1989, Tony telah mula mengajar dan menjadi jurulatih Nadal hingga ke hari ini.

Pada usia lapan tahun, Nadal memenangi kejohanan tenis daerah dan pada masa yang sama, dia juga merupakan seorang pemain bola sepak.

Empat tahun kemudian, dia sekali lagi meraih gelaran pada kejohanan di Sepanyol dan Eropah di samping masih lagi meneruskan minatnya dalam sukan bola sepak. Menyedari hal itu, bapa Nadal memintanya membuat keputusan untuk memilih sama ada terus aktif dalam tenis atau bola sepak.

Ini kerana Sebastian bimbang pelajaran Nadal akan terganggu jika bergiat dalam kedua-dua sukan tersebut. Akhirnya, Nadal membuat keputusan untuk memilih tenis yang diminati sejak kecil.

“Apabila saya berusia di antara 10 hingga 12 tahun, saya sudah mampu bermain dengan baik dan mungkin pada saat itu saya mula berfikir saya boleh menjadi pemain profesional.

“Anda mungkin tidak pernah tahu betapa sukarnya untuk bergelar pemain profesional. Jadi, saya hanya lakukan yang terbaik dan ternyata nasib menyebelahi saya,” ujar Nadal yang dipetik daripada laman web thebiofile.com.

Pada usia 14 tahun, Persekutuan Tenis Sepanyol meminta Nadal meninggalkan Mallorca dan berhijrah ke Barcelona untuk meneruskan latihan secara lebih sistematik.

Tetapi, keluarga Nadal menolak permintaan tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan pelajarannya. Selain itu, nasihat yang diberikan Tony turut menjadi penyumbang kepada penolakan tersebut.

Kata Tony: “Saya tidak mahu kamu ke AS atau mana-mana tempat untuk menjadi atlet yang baik. Sebaliknya, kamu boleh melakukannya dari rumah.”

Mengimbau memori awal dalam sukan tenis, Nadal berkongsi pengalaman bahawa dia perlu berlatih selama empat jam dan ia dilakukan satu atau dua kali seminggu.

Selain bermain tenis, Nadal juga mempunyai hobi memancing. Namun ia bukan sekadar memancing yang biasa.

“Saya suka ketenangan dan keamanan apabila memancing di tengah-tengah laut. Ia memberi pengalaman yang berbeza,” jelasnya yang gemar bersantai bersama rakan-rakan sambil menonton wayang, bermain bola sepak dan golf.

Pada zaman kanak-kanak, Nadal tidak seperti rakan seusia yang mungkin mempunyai hero kegemaran masing-masing.

Malah, dia juga tidak mempunyai idola atau individu ternama untuk dijadikan sumber inspirasi. Cuma, mengetahui keberadaan pemain Carlos Moya di Mallorca menjadi sesuatu yang penting buat Nadal.

“Saya banyak mendapat peluang untuk berlatih dengan Carlos. Itu yang membantu saya meningkatkan prestasi permainan,” tegas Nadal yang gemar menonton filem Gladiator dan Titanic.

Antara catatan terindah yang sentiasa terakam dalam memori Nadal setelah berkecimpung dalam sukan tenis ialah ketika dia memenangi buat kali pertama pada Kejohanan Terbuka Perancis, Piala Davis dan Wimbledon sebelum meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2008.

Apakah pengalaman pahit yang pernah dialaminya? Nadal menjawab: “Saya tidak tahu. Mungkin sewaktu mengalami kecederaan selama tiga bulan pada tahun 2004 sekali gus terlepas kejohanan di Monte Carlo, Rom, Hamburg, Paris dan Wimbledon.”

Menyentuh tentang motivasi yang sentiasa wujud di fikirannya untuk terus mencipta kejayaan di pentas tenis dunia, hanya satu nama yang muncul di fikiran Nadal.

Lelaki itu tidak lain tidak bukan ialah Roger Federer, pesaing terdekat Nadal. Untuk rekod, Nadal dan Federer merupakan dua pemain yang pantas meningkat naik untuk berada pada kedudukan teratas ranking ATP selepas kali pertama dikecapi pemain Switzerland itu pada tahun 2004 dan 2006.

“Roger sentiasa berada di hadapan saya. Dia lebih baik daripada saya dalam segala-galanya seperti aksi forehand, backhand, servis yang sempurna dan sebagainya.

“Jadi itu menjadi pencetus semangat untuk saya terus berusaha menjadi pemain yang lebih baik dari semasa ke semasa. Saya percaya itu kebenaran yang sukar dinafikan,” tutur Nadal.

Tiada ulasan: